Klik tau!

Monday, July 12, 2010

Apa yang anda harapkan dari anak anda?

"Saya mahu anak saya mendapat pendidikan secara holistik.”

“Saya tidak suka anak saya dibebankan dengan jadual yang ketat dan kerja sekolah yang banyak”

”Saya mahu anak saya membesar dalam suasana pembelajaran yang bebas stress.”

“Sekolah sepatutnya membantu anak-anak membesar menjadi individu yang mampu berfikir dan berhujah.”

”Kurikulum sekolah seharusnya menjana kemahiran analitikal.”

Pada permulaan setiap semester persekolahan, inilah ayat-ayat dan harapan yang sering kita dengar dari pihak ibu bapa terhadap anak-anak mereka dan juga terhadap sistem pendidikan negara. Pihak media pula sering memaparkan tekanan yang sering dihadapi oleh pelajar apabila melalui pelbagai bentuk peperiksaan sepanjang usia persekolahan mereka. Ibu bapa dilihat seolah bangkit dan melihat pendidikan dalam dimensi yang berbeza. Mereka mahu anak-anak diberi lebih ruang untuk mengekspresikan dan menunjukkan kemahiran diri. Ini membuatkaan para pendidik mula percaya yang para ibu bapa tidak mahu menyokong suatu sistem pendidikan yang menilai potensi pelajar melalui permarkahan dan gred.

Namun, ini hanyalah harapan palsu yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka. Sebaik sahaja tamat peperiksaan dan buku laporan anak sampai ke tangan mereka dan apa yang tertera tidak mencerminkan kecemerlangan akademik, segala yang mereka katakan di hari pertama persekolahan tidak lagi bermakna.

Ibu bapa secara tiba-tiba menyedari kepentingan peperiksaan, mendapat markah yang baik, peratusan yang tinggi, kedudukan yang baik di dalam kelas dan bermacam-macam lagi yang mereka rasakan penting untuk menilai kecemerlangan anak-anak mereka.

Ibu bapa mula sibuk mencari pelbagai program yang bernilai ratusan ringgit yang mengkhusus kepada latih tubi soalan-soalan tahun lepas dan penghafalan untuk membantu anak-anak mencapai kecemerlangan akademik. Wang ringgit tidak penting, yang penting anak-anak berjaya dalam akademik.

Ibu bapa mula menukar pendapat mereka…… sekarang, mereka berpendapat....

”Saya harus menyediakan anak saya untuk menghadapai peperiksaan.”

”Saya harus menghantar anak saya ke kelas tuisyen jika dia mahu mendapat markah yang baik..”

”Saya harus melanggan program latih tubi ’online’ untuk anak saya membuat latihan untuk persediaan peperiksaan.”

”Saya harus membantu anak saya untuk mencapai kejayaan dalam hidup.”

”Anak saya harus berjaya!”.

”Kejayaan” apakah yang ibu bapa maksudkan?

Kejayaan pada ibu bapa sering diukur melalui sebanyak mana wang gaji yang diperolehi oleh anak-anak dan seselesa mana kehidupan anak-anak selepas mendapat pekerjaan. Anak-anak terpaksa melupakan impian dan cita-cita mereka sekiranya ianya tidak menjanjikan kehidupan yang diimpikan oleh ibu bapa.

Sekolah atau Kilang?

Setiap anak adalah individu. Mereka tidak seharusnya ’dikilangkan’ secara besar-besaran di sekolah. Sekolah kini boleh disamakan dengan kilang yang mengeluarkan komoditi yang sama dan standard, tahun demi tahun.

Tidak dapat dinafikan pembelajaran amat penting, tapi apakah yang anda mahu anak anda belajar? Sudah tentu bukan hasil keluaran yang sudah disogokkan dalam minda yang mereka harus cemerlang dalam akademik kalau mahu dilihat sebagai insan berjaya.

Pendapat saya sendiri, anak-anak harus dididik untuk berfikir dan mampu membuat keputusan sendiri. Anak-anak harus diberi sokongan jika apa yang dipilih bukan pilihan kita. Tidak apalah jika mereka tidak cemerlang dalam akademik asalkan mereka menjadi orang yang mempunyai semangat dan kecintaan terhadap apa yang dicitakan.

Galakan mereka untuk menjadi yang terbaik dalam apa yang diceburi. Ajar mereka erti halal dan haram. Buat mereka faham erti memberi dan berkongsi. Jadikan mereka insan yang tahu menghormati dan menghargai. Pastikan mereka faham makna kejujuran dan integriti.
Hanya dengan ini, kita akan melihat perubahan.

Buat pendidik dan pihak kerajaan, berilah makna sebenar kepada pendidikan. Bantulah anak-anak mencari arah dan laluan yang mampu mencorak mereka menjadi individu.
Buat ibu bapa, dengarlah kata hati anak-anak anda. Dengarlah impian dan cita-cita mereka sebelum anda memaksa mereka memenuhi impian anda.

Note: My daughter is no 8 in class and it's OK. I'm damn proud of her!
Read rest of entry
 

Counter la konon!

Sapa tu??

Term of Use?

Korang boleh ambik mana2 isi kandungan dalam blog aku ni... Tapi pls, bagi kredit dengan letak link blog aku... Paling2 pun, sila klik la kat iklan yang dok kuar tu.... TQ aa...